KOTA KINABALU: Semua kontraktor di Sabah digesa mendaftarkan syarikat masing-masing menerusi Portal Kontraktor Malaysia (MCP) bagi memudahkan urusan transaksi dengan agensi kerajaan selain tujuan pelesenan dan permohonan sijil serta kerja-kerja berkaitan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata pada masa ini kira-kira 13,000 kontraktor di Sabah berdaftar dangan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), namun kontraktor yang berdaftar dengan MCP kurang memberangsangkan.
“Saya rasa mungkin pendedahan mengenai kepentingan mendaftar di portal MCP masih kurang di Sabah dan
kebanyakan mereka adalah kontraktor kecil yang perlu dipimpin dengan lebih baik.
“Saya sudah melancarkan portal ini di Kuala Lumpur dan kali ini saya membawa program ini khas ke Sabah untuk memastikan kontraktor di negeri ini tidak ketinggalan dari segi pembaharuan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Majlis Seminar Pendaftaran Kontraktor dan Penyampaian Anugerah Khas Kontraktor dan Pengilang di sini, semalam.
Menurutnya, CIDB telah melancarkan portal MCP Februari lepas bagi memudahkan kontraktor mendapat akses kepada semua agensi kerajaan yang berdaftar di dalam MCP.
Beliau berkata, MCP juga menyediakan Paparan Kad Laporan Kontraktor (CRC). Kad laporan ini akan membolehkan orang ramai serta agensi kerajaan untuk membuat carian kontraktor dan mengakses profil kontraktor.
“CRC juga menyediakan maklumat terperinci berkenaan status pendaftaran dan prestasi kontraktor yang berdaftar dengan CIDB,” katanya.
Arthur berkata, CRC penting bagi membolehkan agensi, pemilik projek serta orang ramai memeriksa latar belakang sesebuah syarikat kontraktor.
Dalam pada itu, Arthur turut berkata walaupun pihaknya memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan untuk mengendalikan projek kerajaan, syarikat kontraktor perlu menunjukkan kelayakan melaksanakan kerja terbabit.
“Kontraktor tempatan perlu menunjukkan bahawa mereka layak untuk melaksanakan kerja berkenaan daripada segi kemahiran, tenaga kerja dan juga keupayaan dari segi kewangan.
“Sebab akhirnya infrastruktur ini adalah untuk kebaikan rakyat. Sekiranya kita mengutamakan kontraktor tempatan tetapi tidak berkelayakan, maka itu akan menimbulkan masalah lebih besar,” katanya.
Sumber : Berita Harian