Sebagai langkah menyokong inisiatif dalam menyediakan pelbagai pilihan kepada penduduk Malaysia dalam mencapai sasaran 80% vaksinasi di kalangan rakyat, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membuat pengumuman rasmi berkenaan program vaksinasi industri pembinaan. Dalam hal ini, CIDB Malaysia (CIDB) telah dilantik untuk menyelaras dan memudahcara pelaksanaan Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac).
Bermula Julai sehingga September 2021 CIDB Malaysia menerusi CIDB Holdings telah melaksanakan operasi Pusat Vaksin CIVac di lima (5) buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor , Pahang , Johor dan Pulau Pinang.
Kerajaan Malaysia melalui COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) telah memperuntukkan sebanyak 250,000 vaksin Sinovac (Dos 1 dan 2) bagi sektor pembinaan. Sebanyak 81% telah berjaya dicapai daripada jumlah peruntukan tersebut iaitu sebanyak 202,982 vaksin telah digunakan. Pecahan bagi penerima dos 1 adalah 102,802 orang dan penerima dos 2 adalah 100,180 orang .
Di bawah CIVac ini, majikan hanya perlu membayar kos pengurusan yang melibatkan kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) oleh CIDB, keperluan staf perubatan dan pentadbiran. Jumlah yang perlu dibayar ialah RM90.00 (termasuk SST) sahaja untuk setiap seorang pekerja bagi melengkapkan dua (2) dos suntikan vaksin.
Program Imunisasi Industri Pembinaan adalah satu usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses penvaksinan di kalangan rakyat, untuk mencapai imuniti kelompok di dalam industri pembinaan. Sehubungan dengan itu, melalui program ini juga diberi kelonggaran bagi warga asing yang tidak mempunyai passport, permit kerja atau pengenalan diri layak mendapatkan vaksin.